Search

Fatin sumbang emas pertama tuan rumah

Jumiati Rosly dan Aida Adilah Mat

BABEBOLA – KERIAN: Memasuki hari kedua Sukan Malaysia (SUKMA), tuan rumah Perak akhirnya berjaya merangkul pingat emas sulung menerusi atlet judo wanita, Fatin Izzati Ahmad Rosdi yang muncul juara kategori bawah 63 kilogram di Dewan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Krian, di sini hari ini.

Atlet yang berasal dari Ipoh, Perak itu berjaya memenangi emas selepas menewaskan atlet Kedah, Nur Maizatul Afira Mohamad Tahir yang terpaksa berpuas hati membawa pulang perak.

 

Gangsa pula dimenangi atlet Pulau Pinang, Nur Dania Rosaini dan atlet Terengganu, Zuraida Ahmad.

 

Namun dalam kegembiraan itu, Fatin berkata dia sebenarnya perlu menanggung kesakitan tulang selangka dan cedera lutut ketika saingan hari ini.

“Saya tidak jangkakan emas ini kerana saya cedera tulang selangka akibat hentakan ketika sesi latihan dua hari lalu dan cedera di kedua-dua lutut. Lagipun prestasi saya sebelum ini tidak begitu konsisten.

“Apapun, saya gembira kerana berjaya meraih emas pertama untuk Perak. Segala penat lelah saya selama ini berbaloi,” katanya di sini hari ini.

Pengorbanan atlet berumur 21 tahun itu yang menangguhkan pengajiannya dalam jurusan Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Raub selama satu semester bagi menumpukan sepenuh perhatian menjelang temasya kali ini ternyata berbaloi.

Tidak berhenti setakat itu, Perak terus menambah kutipan emas kedua mereka menerusi Najmuddin Samari yang bertanding dalam kategori bawah 55kg selepas menewaskan atlet Terengganu, Muhammad Alif Asnawi Azman sementara gangsa dimenangi Muhammad Hakimi (Johor) dan K Pavithren (Kedah).

Kontinjen Terengganu pula memenangi tiga lagi emas yang ditawarkan pada hari pertama judo dipertandingkan dengan atletnya, Muhamad Izham Harun mengungguli kategori bawah 60kg, Mohamad Aizul Hilmi Zainudin (bawah 73kg) dan Nur Ain Hafiezza Amran (bawah 70kg).

Sumber

Written by 

Related posts

Leave a Comment