Search

Mercedes tekad dominasi GP Singapura

Reuters

BABEBOLA – SINGAPURA: Lewis Hamilton sudah mengukuhkan cengkaman untuk gelaran kelima juara dunia apabila meraih kejayaan mengejutkan di Monza dua minggu lalu namun Mercedes mengambil sikap berwaspada terhadap peluang pelumba Britain untuk terus menggegar di Singapura.

Dalam tiga daripada empat kejuaraan Formula Satu (F1) diraihnya, Hamilton mempamerkan prestasi cemerlang selepas rehat musim panas, membolehkan dominasi Mercedes untuk menutup ruang kepada pencabar kejuaraan.

Pelumba Britain itu menamatkan saingan di kedudukan kedua di Belgium dan pertama di Itali sejak musim bersambung bulan lalu, dengan jenteranya kelihatan kurang menonjol berbanding Ferrari yang dipandu Sebastian Vettel dan aksi Grand Prix Singapura pada Ahad dijangka memberi kelebihan kepada pelumba dari Jerman itu.

 

Vettel di kedudukan kedua kejuaraan pemandu, ketinggalan 30 mata di belakang Hamilton selepas mengharungi pelanggaran di pusingan pertama dengan pelumba Britain berkenaan di Monza dan pelumba berusia 31 tahun itu sedar tidak mempunyai ruang untuk melakukan kesilapan ketika berbaki tujuh perlumbaan.

 

Dua pelumba berkenaan dalam kedudukan yang sama di Singapura setahun lalu, namun Vettel yang berada di petak pertama sebelum pelanggaran dengan pelumba Red Bull, Max Verstappen dan rakan sepasukan Kimi Raikkonen sebaik bermula, membuka ruang kepada Hamilton meraih kejayaan. 

Vettel dan Hamilton adalah pelumba paling berjaya di litar jalanan Marina Bay dengan mengumpul tujuh kemenangan namun ketua Mercedes, Toto Wolff meramalkan sukar pelumba Britain berkenaan menandingi lawan dari Jerman yang menang empat kali.

“Kami bergelut dengan litar ini pada masa lalu. Laluan lurus yang pendek, perlahan, selekoh yang tajam dan permukaan beralun menjadikan ia salah satu litar paling sukar bagi kami,” kata Wolff.

“Kami bermula di barisan ketiga tahun lalu dan pulang dengan kejuaraan dan tempat ketiga. Namun atas kertas, litar seharusnya memihak kepada Ferrari dengan saingan kejuaraan sangat rapat dan sebarang ramalan sudah tidak bermakna.

“Kita dalam saingan kejuaraan…setiap individu dalam pasukan bersedia mengerah kudrat sehingga ke tahap maksimum, kami akan berjuang dengan semua yang dimiliki bagi meraih dua kejuaraan ini.” – REUTERS

 

Sumber

Written by 

Related posts

Leave a Comment